Ahad, 10 Jun 2012

Satu Permulaan Yang Baru..

Assalamualaikum w.b.t.

Pejam celik pejam celik semester baru pun dah bermula. Tahniah kami ucapkan pada mereka yang mendapat keputusan cemerlang dan bagi mereka yang kurang bernasib baik, jangan mengaku kalah kerana Allah sentiasa bersama kita. Ingatlah bahawa setiap perkara yang berlaku ke atas kita merupakan ketentuan Allah dan ada hikmah di sebaliknya.

Cuti sudah habis kini tiba pula masa untuk kita semua menempuh satu perjalanan yang baru dalam UiTM Segamat ini. Jadi, sempena permulaan pada semester baru ini bukankah lebih elok jika kita sama-sama perbahurui dan memperbaiki niat kita ke tempat yang begitu 'segar amat' ini. Sabda Nabi s.a.w. "Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan setiap orang hanya memperolehi apa yang ia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya kerana Allah dan RasulNya maka hijrahnya itu kepada Allah dan RasulNya. Dan barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang akan ia memperolehinya atau kerana perempuan yang ingin dinikahinya, maka hijrahnya itu kepada apa yang dihijrahkan kepadanya."

Sahabat-sahabat sekalian, berdasarkan hadis di atas boleh kita setujui bahawa sesiapa berniat kerana Allah maka beruntunglah dia, kerana dia akan mendapat satu ganjaran yang amat manfaat untuk dirinya. Bukannya tidak boleh untuk kita niat kerana lain tapi, jadikanlah Allah sebagai niat utama untuk kita terus menempuhi kehidupan di UiTM. 

Niat kerana Sang Pencipta akan menguatkan lagi kita kerana Dia lah yang akan membantu kita disaat kita menghadapi kesukaran. Terdapat dalam satu kisah tentang seorang 'abid dengan seorang lelaki tua.

Diceritakan bahawa terdapat seorang pemuda yang kuat beribadah di dalam sebuah kampung. Pemuda ini menghabiskan masanya dengan beribadah kepada Allah dengan niat yang ikhlas kerana-Nya. Sampai pada suatu hari, pemuda ini digemparkan dengan berita bahawa terdapat segolongan penduduk yang telah melakukan syirik dengan cara menyembah sebatang pokok.
Dengan perasaan yang amat marah pemuda itu terus bangun dari tempat duduknya dan mengambil sebilah kapak. Setelah mengetahui di mana tempat perbuatan syirik itu dilakukan, pemuda itu bergegas ke sana. Semasa dalam perjalanan, pemuda itu dihalang oleh seorang lelaki tua yang memakai jubah dan serban. Maka bermulalah pertelingkahan antara mereka di mana si pemuda telah menjadi pemenangnya. Sebelum 'pemuda itu dapat meneruskan perjalanan, lelaki tua itu dengan liciknya menawarkan dinar setiap pagi kepada pemuda itu jika dia membatalkan niat untuk menebang pokok yang menjadi sembahan sebahagian penduduk kmapung. Disebabkan pemuda ini tergolong dalam golongan yang susah maka dia pun menerima tawaran tersebut. Pada keesokan harinya, pemuda itu membelek bantal tidurnya dan memang ternyata benar terdapat beberapa wang dinar di bawah bantalnya. Perkara yang sama dilakukan pada keesokan harinya dan pemuda itu masih lagi menerima wang dinar pada pagi itu. Tetapi, apabila masuknya hari ketiga, sudah tidak ada lagi wang dinar di bawah bantal tidurnya. Dengan perasaan yang amat marah kerana memikirkan dia telah ditipu, pemuda itu terus bangun dan mengambil semula kapaknya dan menuju ke tempat pokok itu. Tetapi pemuda itu sekali lagi telah dihalang oleh lelaki tua yang sama di pertengahan jalan. Maka berlaku lah pertelingkahan buat kali kedua di antara mereka. Namun, kemenangan pada kali ini berpihak pada lelaki tua itu. Pemuda itu hairan dan bertanya kepada lelaki tua itu bagaimana dia boleh menang sedangkan pada kali pertama mereka bertelingkah kemenagan berpihak kepada pemuda itu. Maka jawablah lelaki tua itu bahawa pada kali pertama mereka berjumpa, pemuda itu mempunyai hati yang ikhlas kerana Allah untuk menebang pokok yang menjadi sembahan sebahagian penduduk kampung dan Allah yang telah memberi dia kekuatan untuk mengalahkan lelaki tua itu. Namun, pada kali keduanya mereka berjumpa, niat pemuda itu bukan kerana Allah tetapi ia adalah kerana wang dinar. Maka sebab itulah dia kalah. Persoalan terakhir yang timbul dalam fikiran pemuda itu adalah siapakah sebenarnya lelaki tua itu. Maka jawablah lelaki tua itu "
Akulah Iblis yang kerjaku adalah untuk menyesatkan umat manusia". Selepas itu pemuda itu pun meninggalkan tempat itu dengan seribu penyesalan.

Berdasarkan kisah diatas dapat kita simpulkan betapa pentingnya niat dalam melakukan setiap sesuatu kerana dengan niat yang betul kita akan memperoleh kekuatan untuk menempuh pelbagai dugaan dan cabaran terutamanya di UiTM kampus Segamat. Kerana di sinilah tempat permulaan kita sebagai mahasiswa/wi dalam membentuk satu warna kehidupan bagi mencorak perjalanan hidup kita.

Wallahualam.

"Hidup biar ada warna, baru adventure"



Aminah Al-Sunduq^_^  



    

Tiada ulasan:

Disqus for Permas