Assalmualaikum w.b.t
Bulan Rejab menjelma lagi. Rejab yang bermaksud ta'azim iaitu kebesaran, kemuliaan dan keangungan merupakan bulan yang ketujuh di dalam kalendar Islam. Bulan ini juga dianggap sebagai salah satu bulan yang suci sepertimana disepakati oleh para ulama'. Ia berdasarkan firman Allah dalam surah at-Taubah ayat 36.
"Sesungguhnya bilangan bulan pada sisi Allah adalah dua belas bulan, dalam ketetapan Allah di waktu Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan haram. Itulah agama yang lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang empat itu, dan perangilah kaum musyrikin itu semuanya sebagaimana merekapun memerangi kamu semuanya, dan ketahuilah bahwasanya Allah beserta orang-orang yang bertakwa."
Sebagaimana yang disepakati oleh ulama, empat bulan 'haram' yang dimaksudkan adalah Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab.
Kelebihan Bulan Rejab:
Perlu diingatkan bahawa tiada kelebihan yang terdapat di dalam bulan Rejab berbanding bulan-bulan 'haram' yang lain. Namun, terdapat beberapa peristiwa bersejarah yang telah berlaku dalam bulan Rejab. Antaranya adalah, berlakunya Perang Tabuk, pembebasan Al-Aqsa dari tangan tentera Salib, dan juga berlakunya peristiwa Isra' dan Mikraj.
Mengapa dikatakan haram berperang dalam bulan ini:
Ulama' mengatakan bahawa keempat-empat bulan itu dinamakan 'haram' berikutan pengharaman peperangan disebabkan ibadah haji dan umrah yang dilakukan dalam empat bulan ini. Bulan Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram adalah tiga bulan yang berturutan. Maka, diharamkan bulan Zulkaedah lantaran bakal haji melakukan perjalanan ke Makkah dalam bulan itu. Bulan Zulhijjah disebabkan ibadah haji dilakukan dalam itu dan bulan Muharram pula mereka yang mengerjakan ibadah haji akan kembali ke tempat masing-masing. Pengharaman ini bagi membolehkan mereka yang mengerjakan haji berasa aman terhadap keselamatan diri. Rejab pula diharamkan lantaran ibadah umrah dilakukan dalam bulan itu pada pertengahan tahun.
Rejab menurut As-Sunnah:
Berdasarkan dalil al-Quran, jelas menunjukkan bulan Rejab termasuk dalam bulan-bulan yang dimuliakan atau dipanggil juga Al-Ashhur Hurum. Berpuasa di dalam bulan-bulan ini adalah dituntut (mandub). Berpuasa di dalam bulan Rejab adalah dituntut tetapi tiada satu hadith yang sahih yang membuktikan bahawa berpuasa pada hari-hari tertentu dalam bulan ini akan mendapat ganjaran istimewa.
Terdapat juga beberapa hadith-hadith yang menerangkan tentang fadhilat bulan Rejab. Tetapi terdapat perselisihan ulama dalam mengklasifikasikan hadis-hadis ini sebagai dha'if, sangat dha'if, dan maudhu'(palsu). Sebahagian ulama' telah mengambil sikap berhati-hati dan sebahagiannya telah menolak dan melarang hadith-hadith ini daripada disampaikan pada masyarakat. Antara hadis-hadis ini adalah:
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud; “Rejab bulan Allah, Sya’aban bulanku (Nabi Muhammad SAW), Ramadan bulan umatku”.(Hadis ini dikatakan mun’kar bahkan dianggap maudhu’ dan tiada padanya nilai ilmiah yang boleh dipertanggungjawabkan)
“Dalam syurga ada sebuah sungai bernama Rejab, airnya lebih putih daripada susu, lebih manis daripada madu. sesiapa berpuasa dalam bulan Rejab, nescaya diberi minum air sungai itu”.(Hadis ini juga dhai’f)
“Sesiapa berpuasa sehari dalam bulan Rejab, sama seperti ia berpuasa sebulan. Sesiapa berpuasa 7 hari nescaya ditutup daripadanya 7 pintu neraka Jahannam. Sesiapa berpuasa 8 hari, nescaya dibuka 8 pintu syurga”. (Hadis ini dha’if)
Namun, terdapat juga hadith sahih yang menggalakkan berpuasa bukan sahaja dalam bulan Rejab tetapi dalam bulan-bulan 'haram' yang lain.
Dalam satu riwayat datang seorang lelaki dari Bahilah datang menemui Rasulullah SAW dan bertanya, “Ya Rasulullah, saya adalah lelaki yang datang menemui anda pada tahun pertama” Ujar Nabi SAW, “Kenapa keadaanmu telah jauh berubah padahal dahulunya kelihatan baik? Kata lelaki itu, “Semenjak berpisah dengan anda, saya tidak makan hanyalah di waktu malam” Maka tanya Rasulullah SAW “Kenapa kamu seksa dirimu?” Lalu sabdanya “Berpuasalah pada bulan sabar – yakni bulan Ramadan dan satu hari dari setiap bulan!” "Tambahlah buatku kerana saya kuat melakukannya!" Ujar lelaki itu. “Berpuasalah dua hari!" Sabda Nabi. “Tambahlah lagi!” Mohon lelaki itu pula. Maka Nabi SAW bersabda “Berpuasalah dalam bulan suci (haram) lalu berbukalah! (kemudian diulangi sebanyak tiga kali) sambil mengucapkan itu Nabi SAW memberi isyarat dengan jari-jarinya yang tiga, mula-mula digenggam lalu dilepaskan” (Riwayat Ahmad, Abu Daud, Ibn Majah dan Baihaqi dengan sanad yang baik).
Berpuasa dalam bulan-bulan haram, tiga bulan berturut-turut (Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram) dan satu bulan berasingan (Rejab) adalah sebaik-baik bulan untuk berpuasa selepas Ramadan. Sebaik-baik bulan haram ialah Muharram diikuti dengan Rejab dan seterusnya. Keempat-empat Imam Mazhab sepakat mengatakan bahawa berpuasa dalam bulan haram sangat dituntut namun adalah makruh memilih bulan Rejab sahaja untuk berpuasa.
Terdapat satu hadis yang bertaraf hasan menceritakan bahawa Rasulullah SAW telah berpuasa (di dalam bulan Rejab) lebih banyak daripada bulan Sya’aban dan bila ditanya, baginda menyatakan, "kerana ia (Rejab) bulan pengampunan di antara Rejab dan Ramadan." Ada sebahagian masyarakat berpuasa berturut-turut (Rejab, Sya’aban dan Ramadan) di ketiga-tiga bulan. Ini bukannya dari Rasulullah SAW, bukan dari sahabat dan salafussoleh. Yang terlebih baik ialah berpuasa sebahagiannya atau berpuasa selang sehari dan bukan berterusan. Inilah sunnah Rasulullah SAW.
Selain berpuasa di dalam bulan Rejab, kita juga digalakkan untuk memperbanyakkan doa, solat sunat, berselawat, bersedekah, beristighfar, membaca al-Quran dan berzikir.
Dalam mempertingkat amalan-amalan kita kepada Allah swt, sering kali kita diberitahu dengan pelbagai-bagai amalan yang kelihatan banyak fadhilatnya. Malah, tedapat beberapa fadhilat-fadhilat yang sangat rapuh dalilnya, bahkan ia menjadi pegangan sebahagian umat Islam pada hari ini. Bagi menjawab persoalan-persoalan seperti fadilat Rejab atau bulan-bulan yang lain, kita mesti kembali kepada 'role model' kita, iaitu Rasulullah s.a.w. sebagaimana firman Allah s.w.t didalam surah Al-Ahzab ayat 21.
"Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)"
Wallahualam..
Aminah Al-Sunduq ^_^
DOA BULAN REJAB:
"Ya Allah, berkatilah kami pada bulan Rejab dan bulan Sya'aban serta sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan. Aku bermohon keampunan Allah yang Maha Agung dan tiada Tuhan melainkan Dia, yang hidup, yang berdiri sendiri dan aku bertaubat kepada-Nya. Ya Allah, Engkaulah Tuhanku, tidak ada Tuhan yang patut disembah kecuali Engkau yang mencipta aku. Aku adalah hamba-Mu dan aku dalam genggaman-Mu. Aku dalam perjanjian (beriman dan taat) kepada-Mu sekadar kemampuan yang ada padaku. Aku berlindung kepada-Mu dari kejahatan yang (mungkin) aku lakukan. Aku mengakui atas nikmat yang engkau berikan kepadaku dan mengakui dosa-dosaku. Kerana itu aku memohon keampunan-Mu dan sesungguhnya tiada yang dapat mengampuni dosa seseorang kecuali Engkau Ya-Allah."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan