Selasa, 12 Jun 2012

Luruskan Hatimu dengan Niat


TETAPKAN NIATMU!

Assalammualiakum kepada saudaraku yang disayangi oleh Allah S.W.T. Insyaallah pengisian pada kali ini  lebih menyentuh mengenai niat kita sebagai hamba Allah di atas muka bumi yang indah ini dan kejujuran dalam hidup. Ana ucapkan tahniah, jika seseorang telah menyedari bahawa dia tersasar daripada tujuan asalnya untuk melakukan sesuatu perkara. Lebih-lebih lagi apabila tujuan utamanya untuk melakukan kebaikan, namun ketika dirinya menghampiri persimpangan untuk melakukan perkara yang tidak baik, dia segera beringat dan berpatah kembali. Alhamdulillah semoga niat kita terus diredhai oleh Allah S.W.T  sebagai seorang pelajar dan anak kepada ibu bapanya.

Mendahulukan Niat

Niat merupakan penghulu bagi setiap perkara yang ingin dilaksanakan. Benarlah pemilihan Imam al-Nawawi dengan meletakkan hadis tentang niat dalam susunan ‘al-Arba’in al-Nawawiyah’. Niat bertindak sebagai ketua segala perbuatan dan gerak laku seseorang sebelum bertindak.

Hadis masyhur yang menyarakan agar setiap perbuatan itu disertakan dengan niat memberi ruang agar diberi pilihan dalam setiap perkara yang ingin dilakukan sama ia dibuat untuk dunia, orang tertentu atau sesuatu yang diingini. Niat juga akan merealisasikan keinginan seseorang. Oleh sebab itu, tetapkan niat dalam diri untuk setiap perkara yang ingin dilakukan.

Biarpun niat dilihat sebagai perkara remeh kerana ia tidak perlu dizahirkan kepada orang ramai, tetapi kekuatannya melebihi perkara yang terzahir. Seorang yang tidak meletakkan tujuan untuk perkara yang akan dilakukan pada hari esok, akan bangun pagi dalam keadaan malas! Manakala seseorang yang telah menetapkan niat untuk melakukan beberapa tugasan akan memulakan paginya dengan cergas kerana dia tahu ada sesuatu yang ingin diselesaikan.

Begitu juga dengan niat seorang pelajar atau Mahasiswa yang menjadikan belajar sebagai perkara paling utama dalam kehidupannya. Belajar bukan semata-mata hadir ke kuliah, malah seorang pelajar kreatif dan inovatif dalam merealisasikan matlamatnya akan menjadikan belajar itu satu perkara yang mampu memajukan dirinya sendiri dan orang sekeliling. Bermula dari niat baiknya untuk belajar, dia berusaha untuk lulus dalam peperiksaan, aktif menyertai aktiviti persatuan, membina hubungan baik sesama pensyarah dan rakan-rakan dan seterusnya ingin mengamalkan dan menyebarkan ilmu yang dipelajarinya.

Meraih Keuntungan

Sesungguhnya, orang yang mengetahui hakikat terhadap perkara yang ingin dicarinya akan berasa ringan terhadap segala perkara yang dilakukannya. Orang yang merasakan manisnya sesuatu dan mencintainya dengan bersungguh-sungguh pasti tidak kalah apabila menanggung kesukaran dan tidak peduli dengan apa yang perlu dilakukannya.

Jiwa kental mereka sedar bahawa hidup tanda matlamat dan tujuan akan merugikan diri sendiri, umpama memandu kenderaan tanpa tahu kemana destinasi yang dituju, yang akhirnya membuang masa! Matlamat sesorang yang positif menggariskan keuntungan yang diperoleh bukan hanya untuk memuaskan diri sendiri semata-mata, tetapi mengambil kira kegembiraan keluarga dan orang di sekeliling. Yang paling penting, dia tidak mahu rugi dalam meraih kasih sayang Allah dan keberkatan dalam setiap perbuatanya. Menarik bukan?.

Orang yang memiliki tempat tinggal di syurga Firdaus tidak berasa rugi dengan beban yang ditanggungnya seperti kesengsaraan dan kekurangan harta. ( Sufyan al-Thawri )

Jujur dengan Ibu Bapa

“Bukankah tujuan kita keluar untuk mencari buku rujukan? Kenapa kau singgah ke pusat Internet ini? Ini dah kira menipu ibu dan ayah dan secara tidak langsung sudah lari daripada tujuan asal kita.” Seorang rakan mengingatkan rakan baiknya apabila tersedar kesalahan yang mereka lakukan.

Ketahuilah, ibu bapa merupakan insan yang paling dekat dengan anak-anaknya. Mereka memahami bukan sahaja perkataan dan tingkah laku anak-anak yang berada di hadapan mata mereka sahaja, bahkan memahami perasaan dan hati mereka atas perkara yang berlaku terhadap anak-anaknya walaupun jauh di mata.

Apabila berbohong kepada ibu bapa, contohnya ingin keluar membeli buku atau menghadiri kelas, tetapi menyimpang kea rah lain seperti pusat Internet atau sebagainya, mereka sebagai ibu bapa dapat merasakan anak-anaknya telah melakukan sesuatu yang salah.

Seseorang yang mematuhi setiap suruhan dan larangan Allah pasti akan berusaha untuk mengenal pasti yang dilarang dan disuruh oleh kedua ibu bapa. Melakukan segala suruhan Allah dan meninggalkan larangan-Nya tanda pengabdiaan sesorang hamba terhadap Tuhannya. Begitu juga seorang anak yang ingin menjadi anak yang taat dan soleh akan memberi yang terbaik buat ibu bapanya termasuklah berlaku jujur kepada mereka.

Ingatlah, biarpun ibu bapa tidak mengetahui persimpangan tujuan terhadap anak-anak mereka, Allah Maha Mengetahui tentang segala yang ada dalam hati dan perkara yang terzahir daripada manusia. Niat terbaik kita, mencari redha Allah.
Waallahu’aklam. 
----------------------------------------
Marilah betulkan niat kita sebagai seorang pelajar dan jujur  dalam setiap perlakuan dan perbuatan ini semata-mata kerana Allah dan kasih sayang-Nya.

Jom jujur sampai syurga!  -IMAN-

Disediakan oleh:  Persatuan Mahasiswa Masjid As-Syakirin

Tiada ulasan:

Disqus for Permas