Isnin, 18 Jun 2012

Rahsia Peristiwa Isra' dan Mi'raj


Assalamulaikum w.b.t
.
Tanggal 27 Rejab maka bergemalah masyarakat Islam di seluruh dunia bagi menyambut satu peristiwa agung yang digelar Isra' dan Mi'raj. Tapi, adakah wajar bagi kita umat Islam sekadar menyambut dan tidak menghayati kisah disebalik kejadian yang hanya berlaku pada seorang manusia yang agung? Setiap tahun kita akan mendengar kisah tentang peristiwa ini, tapi berapa ramai yang mengambil pengajaran yang terdapat di dalam peristiwa tersebut?

Sebelum kita meneruskan 'bicara' eloklah kita mengimbas kembali serba sedikit tentang kisah yang hanya berlaku pada kekasih Allah ini. Pada mulanya, Rasulullah s.a.w mengalami pembedahan dada yang dilakukan oleh malaikat Jibrail dan Malaikat Mika’il. Hati Baginda s.a.w disucikan dengan air zamzam dimana ketul hitam dibuang iaitu tempat syaitan membisikkan was-wasnya. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu dan iman ke dalam dada Rasulullah s.a.w. Setelah itu, dadanya dijahit dan dimeterikan dengan “kahtimin nubuwwah”. Selesai sahaja pembedahan, Rasulullah didatangi oleh seekor binatang yang bernama buraq untuk ditunggangi Baginda s.a.w. dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan “Isra'”.

Peristiwa Isra' (perjalanan dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa)
Sepanjang perjalanan ini Rasulullah s.a.w. ditemani oleh Malaikat Jibril dan juga Malaikat Israfil dimana Baginda diminta berhenti pada tempat-tempat tertentu bagi menunaikan solat dua rakaat.Antara tempat-tempat tersebut adalah:

I. Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah akan melakukan hijrah. 
II. Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa AS menerima wahyu daripada Allah. 
III. Baitul-Laham (tempat Nabi Isa AS dilahirkan)

Dalam perjalanan ini juga Rasulullah s.a.w. diganggu dengan Jin Ifrit dan baginda telah melihat beberapa peristiwa yang simbolik dan ajaib. Antaranya:
I. Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. 
Apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi 
dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail: 
Itulah kaum yang berjihad “Fisabilillah” yang digandakan pahala kebajikan 
sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak. 
II. Tempat yang berbau harum, Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail: Itulah 
bau kubur Masyitah (tukang sisir rambut anak Fir’aun) bersama suaminya dan 
anak-anaknya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman 
ibunya) yang dibunuh oleh Fir’aun kerana tetap teguh kepada Allah (tak 
mahu mengakui Fir’aun sebagai Tuhan). 
III. Sekumpulan orang orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap 
kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. 
Demikaan dilakukan berkali-kali, Jibrail memberitahu: Itulah orang-orang 
yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang).

ini hanyalah sebahagian dari peristiwa yang dilihat Rasulullah s.a.w. untuk maklumat lanjut, sahabat semua boleh cuba mencari di laman google^_^

Tibanya di Masjidil Aqsa, baginda s.a.w. menunaikan solat dua rakaat dengan mengimamkan segala anbia', aulia' dan para mursalin yang menjadi makmum di belakang baginda s.a.w. di dalam masjid tersebut. Sampai suatu ketika baginda terasa dahaga, Malaikat Jibril membawakan dua bekas yang berisi arak dan susu. Maka baginda s.a.w. telah memilih susu dan berkatalah Jibril jika baginda telah memilih arak maka akan ramailah dikalangan umatnya yang akan sesat pada hari ini.

Peristiwa Mi'raj (naik ke Hadhratul Qudus bertemu dengan Allah)
Pada ketika inilah bermulanya perjalanan baginda s.a.w. naik ke pintu-pintu langit untuk bertemu dengan Allah s.w.t. Turunya mi'raj iaitu tangga yang indah dari Syurga maka naiklah Rasulullah s.a.w. dengan Malaikat Jibril ke tangga yang pertama lalu terangkat ke pintu Hafzhah (pintu langit dunia). Dalam peristiwa Mi'raj ini jugalah NAbi s.a.w. bertemu dengan para nabi yang lain di setiap tingkatan langit.

Langit Pertama
Rasulullah s.a.w. dan Jibrail masuk ke langit pertama, lalu jumpa dengan Nabi Adam a.s. Kemudian baginda s.a.w melihat orang-orang yang makan riba’ dan harta anak yatim dan melihat orang berzina yang rupa dan kelakuan mereka sangat hodoh dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada susu penzina perempuan.
Langit Kedua
Nabi s.a.w. dan Jibrail naik tangga yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi Isa a.s dan Nabi Yahya a.s.
Langit Ketiga
Baginda naik langit ketiga dan bertemu dengan Nabi Yusuf a.s. 
Langit Keempat
Baginda naik tangga keempat dan bertemu dengan Nabi Idris a.s. 
Langit Kelima 
Baginda naik tangga kelima dan bertemu dengan Nabi Harun a.s yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israel. 
Langit Keenam 
Baginda naik tangga langit keenam dan bertemu dengan nabi-nabi. Seterusnya dengan Nabi Musa a.s, Rasulullah mengangkat kepala (disuruh oleh Jibrail) lalu dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai termasuk 70000 orang yang masuk syurga tanpa hisab. 
Langit Ketujuh 
Baginda naik tangga langit ketujuh dan bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sedang bersandar di Baitul Ma’mur lalu Nabi Ibrahim a.s. bersabda. “Engkau akan berjumpa dengan Allah pada malam ini. Umatmu adalah umat terakhir dan terlalu dha’if , maka berdoalah untuk 

umatmu. Suruhlah umatmu menanam tanaman syuga iaitu La Haulawala Quwatta Illa Billah. Mengikut riwayat lain, Nabi Ibrahim a.s. bersabda: “Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu mereka, syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan tanamannya ialah lima kalimah iaitu: Subhanallah, WAlhamdulillah, Wa La Ila Haillallah Allahuakbar dan La Haulawala Quwatta Illa Billahil Azim. Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga.  

Setelah melihat beberapa peristiwa lain yang ajaib, Rasulullah dan Jibrail masuk ke dalam Baitul-Makmur dan solat(lokasi Baitul-Makmur ini terletak betul-betul di atas Baitullah di Mekah). 

Sidratul Muntaha
Di sinilah disebut “Al – Kursi” yang berbetulan dengan dahan pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah s.a.w menyaksikan  pelbagai keajaiban pada pokok itu. Sungai air yang tak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah. Buah, daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi permata-permata yang indah. Semua yang berlaku langsung tidak dapat dibayangkan oleh kita yang mempunyai akal yang terbatas.

Dialog antara Muhammad bin Abdullah dengan Allah s.w.t.
Baginda Rasulullah sampai di Hadhratul-Qudus dan Hadhrat Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah s.w.t dengan mata kepalanya, lantas sujud. Kemudian berlakulah dialog antara Allah dan Muhammad

Allah s.w.t.: Ya Muhammad
Muhammad s.a.w.: Labbaika
Allah s.w.t.: Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan.
Muhammad s.a.w.: Ya Rabb, Engkau telah ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Engkau berikan dia kerajaan yang besar. Engkau berkata-kata dengan Musa. Engkau berikan Daud kerajaan yang besar dan dapat melembutkan besi. Engkau kurniakan kerajaan Sulaiman yang tidak Engkau kurniakan kepada sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia, syaitan dan angin. Engkau ajarkan ‘Isa Taurat dan Injil. Dengan izin-Mu, dia dapat menyembuhkan orang buta, orang sufaq dan menghidupkan orang mati. Engkau lindungi dia dan ibunya daripada syaitan.

Allah s.w.t.: Aku ambil mu sebagai kekasih. Aku perkenankan mu sebagaipenyampai berita gembira dan amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu sebaik-baik umat. Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepada mu pada hari kiamat. Aku kurniakan tujuh ayat (surah Al Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa sebelum mu. Aku berikan mu ayat-ayat di akhir surah al Baqarah sebagai suatu perbendaharaan di bawah “Arasy”. Aku berikan  habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakan panji-panji Liwa-ul-hamd. Maka Adam dan semua yang lainya di bawah panji-panji mu. Dan aku fardukan atas mu dan umat mu 50 (waktu) sembahyang. 

Selesai munajat, Rasulullah s.a.w. dibawa menemui Nabi Ibrahim a.s. kemudian Nabi Musa a.s. yang kemudiannya menyuruh Rasulullah s.a.w. merayu kepada Allah s.w.t. agar diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu sembahyang itu. Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan 5 waktu), baginda tidak mahu lagi merayu kerana malu kepada Allah, dan akhirnya Allah perkenan memfardukan sembahyang 5 waktu sehari semalam tetapi mengekalkan nilai pahalanya sebanyak
50 waktu juga.

Rasulullah s.a.w. turun semula ke langit dunia. Seterusnya turun ke Baitul Maqdis. Lalu menunggang Buraq pulang ke Mekah pada malam yang sama.

Pengajaran Peristiwa Isra' dan Mi'raj

Menurut Syeikh Prof Dr Yusuf al-Qaradawi, menerusi peristiwa isra' dan mi'raj, kita boleh fokuskan kepada dua perkara penting, pertama mengenai Masjidil Aqsa dan Masjid al-Haram, kedua mengenai kewajipan solat yang diserahkan Allah kepada Nabi Muhammad s.a.w. Persoalannya di sini, mengapa Allah tidak memperjalankan baginda terus ke langit ketujuh, tetapi singgah dahulu di Masjidil Aqsa? Ini kerana Allah mahukan agar baginda bertemu dengan para anbiya' terlebih dahulu bagi menyatakan sokongan padu mereka terhadap kerasulan Nabi Muhammad, di samping mahu baginda singgah di sebuah tempat yang penuh dengan keberkatan daripada Allah s.w.t. seperti yang disebut dalam ayat pertama surah al-Isra'. Kepimpinan baginda menjadi titik tolak penyatuan akidah dan syariat di kalangan para anbiya', justeru baginda menjadi imam solat kepada mereka, iaitu kepimpinan bersifat global, bukan hanya untuk kaum  atau bangsa tertentu, malah buat manusia sejagat yang terdiri daripada pelbagai etnik, suku kaum, bangsa yang menunjukkan kebesaran Allah dalam mencipta makhluk yang bernama manusia. Hubungan Masjidil Haram dan Masjidil Aqsa tidak dapat disangkal oleh individu Muslim yang sayangkan agamanya. Ini kerana dari segi sejarah menunjukkan Masjidil Aqsa adalah kiblat pertama umat Islam sebelum berpindah kepada Masjidil Haram hingga ke hari ini. Justeru adalah menjadi tanggungjawab semua pihak khususnya di kalangan umat Islam membebaskan Masjidil Aqsa dari cengkaman rejim Yahudi-Israel, kerana ia ada kaitan dengan persoalan akidah mereka. Pengajaran kedua terpenting menerusi peritiwa Isra' dan Mi'raj, ialah pelaksanaan ibadat solat lima waktu, ia merupakan mi'raj (tangga) seorang Muslim menghadap Tuhannya, kepentingan solat juga tidak dapat dipersoal oleh mana-mana individu Muslim, walau apapun jawatan dan kedudukannya dalam masyarakat. Apabila solat seseorang itu beres dengan Tuhannya, maka akan bereslah urusan hidupnya yang lain, hubungan roh seorang muslim itu sangat penting dengan Tuhannya, justeru ia ada kaitan dengan kedua-dua masjid yang disebutkan di atas. Apabila seseorang itu menunaikan solat dengan penuh khusuk dan tawaduk, dia seolah-olah sedang berkata-kata dengan Allah, ia terserlah ketika membaca al-Fatihah tujuh belas kali sehari semalam, untuk menyatakan munajat dan aduannya kepada Allah bagi memudahkan tugas dan peranannya untuk menyeru manusia ke jalan kebenaran. Dan ingatlah juga bahawa solat itu adalah tiang agama, bagi mereka yang sering meninggalkan solat, maka mereka adalah golongan yang meruntuhkan agama. Nabi s.a.w dengan perasaan malu dan rendah dirinya berulang-alik bertemu dengan Allah supaya dikurangkan solat 50 waktu  menjadi 5 waktu, jadi malulah kita jika meninggalkan walau satu waktu pun. Wallahualam.



Aminah Al-Sunduq^_^



Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidilharam (di Mekah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
(al-isra'  17:1)



















Tiada ulasan:

Disqus for Permas