Jumaat, 17 Ogos 2012

Moga Kita Bertemu Lagi..


Assalamulaikum W.B.T.

 بسم الله الرحمن الرحيم
Saat berganti minit, minit berganti jam, jam berganti hari, hari berganti minggu dan akhirnya minggu mencukupkan sebulan. Begitu pantasnya detik ini berlalu bagi mereka yang menghayati ramadhan sepunuhnya. Di kala manusia sibuk gembira memikirkan sambutan Syawal, terdapat segelintir yang menangis dan sedih dengan kepergian Bulan yang penuh Barakah ini. 

Kini Ramadhan sedang beransur pergi, tetapi bagaimana dengan hati dan iman di dalam diri?? Adakah ia sama seperti sebelum ini?? Andainya ditakdirkan ini adalah Ramadhan terakhir kita, adakah kita telah menyambutnya dengan sebaiknya?? Adakah kita telah meraikan tetamu khas kita yang hanya datang setahun sekali?? Bagaimana dengan IMAN, TAQWA dan JIWA kita?? Adakah mereka telah diberikan makanan tarbiah?? Adakah kita berpuasa sepertimana yang Allah berfirman di dalam kitab suci Al-Quran??
"Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa."
Al-Baqarah 2:183

Bulan Ramadhan adalah satu bulan yang penuh dengan barakah dimana setiap hamba-Nya akan diberikan rahmat, pengampunan dan pembebasan dari api neraka. Bulan ini juga adalah waktu yang paling sesuai bagi mereka yang ingin mentransformasikan diri ke arah yang lebih baik kerana telah terikatnya musuh kita yang nyata. Tetapi alangkah sedihnya apabila melihat sahabat-sahabat kita yang berpuasa tetapi tidak mendapat apa-apa melainkan lapar dan dahaga. Sedang kita sibuk beriktikaf, bertadarus dan melakukan amalan-amalan sunat, mereka sibuk dengan juadah berbuka dan baju baru sempena Aidilfitri.
Bukannya hendak menyatakan bahawa menyambut perayaan Aidilfitri itu harus ditinggalkan dan tidak penting. Tetapi sambutlah ia dalam keadaan sederhana dan tidak membazir kerana Islam menggalakkan umatnya bersederhana. Kita selalu melihat apabila tibanya di penghujung Ramadhan maka mulalah kesibukan yang teramat oleh kebanyakan manusia. Tarawikh yang pada mulanya penuh sampai ke luar masjid/surau. Tetapi akhirnya hanya tinggal dua atau tiga saf sahaja. Bertadarus pada awalnya membuat satu bulatan yang besar sehingga terpaksa berpecah kepada kumpulan-kumpulan kecil. Tetapi apabila tibanya penghunjung ramadhan hanya tinggal beberapa insan sahaja malah banyaknya kumpulan terpaksa ditukar menjadi satu kumpulan, bulatan yang besar menjadi bulatan yang kecil. Adakah ini caranya bagi menghayati Ramadhan al-Kareem??

Wahai sahabat-sahabat yang ku kasihi, kita masih lagi berada di dalam sepuluh malam terakhir Ramadhan. Maka raikanlah sebaik mungkin. Tambahkanlah amal ibadatmu. Perbanyakkan zikirmu. Kurangkan percakapanmu. Bentuklah peribadi muslim yang sejati di dalam bulan yang mulia ini dan burulah Lailatulqadar. Allah telah mentemukan kita pada Ramadhan tahun ini dan memberi peluang pada kita untuk berhijrah. Malah Dia juga telah mengikat Syaitan Laknatullah bagi memudahkan urusan kita. Jadi dengan berbaki beberapa hari ini, marilah kita meyambut Ramadhan dengan sebaik-baiknya. Janganlah kita mensia-siakan peluang keemasan ini kerana belum tentu kita akan mempunyai jodoh untuk bertemu dengan Ramadhan pada tahun hadapan.

"Andainya ini Ramadhan terakhirku, adakah ibadatku diterima oleh Penciptaku." 
"Ya Allah, terimalah puasa dan ibadatku. Jadikanlah aku dikalangan orang-orang yang bertaqwa."

Aamiiin Ya Rabbal Alamin..
Aminah Al-Sunduq^_^

Tiada ulasan:

Disqus for Permas