Khamis, 8 November 2012

sejauh mata memandang, seindah hamparan alam




“Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal. Yaitu orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata), “Ya Robb kami, tiadalah Engkau ciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka dipeliharalah kami dari siksa neraka.”

Assalamualaikum w.b.t.

 بسم الله الرحمن الرحيم

Alhamdulillah, setelah sekian lama menyepikan diri akhirnya Allah telah mendatangkan ilham pada hambaNya untuk berkongsi sedikit ilmu di dalam blog ini. Sebenarnya tercetusnya idea ni setelah mengikuti program PERMAS yang terkini iaitu "Musafir PERMAS ke Sabah."  Program yang berlangsung selama empat hari tiga malam itu telah membuka semula hati yang  telah sekian lama menjadi keras. 


Akibat terlalu leka dengan arus kemajuan dan tipu daya dunia, dalam tidak sedar kita telah lupa dengan keindahan alam. Allah S.W.T. telah menciptakan alam ini dengan sebaik-baik penciptaan. Setiap yang diciptakanNya itu mempunyai 1001 hikmah kejadian yang harus bagi kita untuk merenungi dan menghayati bersama akan kebesaran dan kehebatan yang ada pada Sang Pencipta. 

Negeri Sabah yang kaya dengan buminya yang hijau telah berjaya mengikis sedikit demi sedikit sifat mazmumah yang mula lahir ke dalam diri ini. Apabila kita melihat dan berfikir tentang bagaimana Allah telah menciptakan dunia ini maka hati akan mula merasa rendah diri dan sedar hanya Allah lah yang Maha Hebat Maha Bijaksana. Bayangkan betapa indah dan cantiknya Allah telah mencipta setiap kejadian itu berbeza antara satu sama lain dan setiap darinya mempunyai hikmah yang tersirat supaya kita sentiasa mengkaji serta mengakui kebesaran yang Maha Esa.

Di dalam ayat di atas Allah telah berfirman dengan cukup jelas tentang bukti-bukti kebesaranNya. Malangnya betapa ramai diantara kita telah melihat alam ini tetapi tidak nampak kebijaksanaan tersebut. Diri bertanya mengapa perkara sebegini berlaku? Ia kerana kita hanya melihat dengan mata fizikal semata-mata. Sebab itulah Allah telah menyebut orang-orang yang berakal kerana orang yang berakal mereka bukan sahaja akan melihat dengan mata kasar malah mereka juga akan menggunakan mata hati mereka untuk melihat.

Perumpaannya begini, bayangkan anda berada di luar negara. Setelah beberapa tahun tidak berjumpa dengan keluarga yang tercinta tiba-tiba pada satu hari anda telah menerima satu bungkusan yang mengandungi kuih kegemaran anda. Apabila melihat kuih tersebut secara tidak sedar air mata anda mula mengalir di pipi. Bagaimana perkara ini boleh berlaku?
Mungkin jika orang lain yang melihat mereka tidak akan merasa apa-apa selain ingin menikmatinya kerana kuih itu bukannya ditujukan khas untuk mereka. Tetapi bagi anda yang menerima, anda bukan sahaja melihat keadaan kuih itu dari luaran, tetapi anda juga melihat maksud tersirat yang terdapat di dalam kuih tersebut. 

Menjawab tentang persoalan mengapa mengalirnya air mata adalah kerana anda bukan sahaja melihat kuih, tetapi anda juga melihat siapa yang telah membuat kuih tersebut. Iaitu ibu anda yang tercinta. Sewaktu melihat kuih tersebut, anda terkenang kasih-sayang, keprihatinan, kelembutan dan segala-gala yang baik daripada ibu anda. Pandangan itu menjangkau sesuatu yang lebih bererti, bukan sekadar pada tulang, daging dan urat ibu kita tetapi kepada yang lebih maknawi, yakni budi, kasih dan sayangnya. Itulah yang dinamakan pandangan mata hati!  


Demikianlah juga dengan alam ini. Allah telah menciptanya dengan sebaik-baiknya tetapi kita lah yang selalu buta untuk melihat keindahan di sebaliknya. Kehebatan Allah hanya mampu dilihat dengan mata hati melalui alam ciptaanNya di mana dengan penelitian dan penghayatan itu akan dapat menembusi lapisan demi lapisan di dalam hati manusia untuk mengakui bahawa tiada kuasa yang mampu mencipta dan mengawal semua ini melainkan Allah S.W.T. Maka, celikkan lah mata hati kita..

"Sesungguhnya hati juga mempunyai mata maka gunakanlah" 


SENYUM^_^   

Aminah Al-Sunduq^_^






Tiada ulasan:

Disqus for Permas