Rabu, 14 November 2012

Tahun Baru Azam Baru ^_^

Daripada Amirul Mukminin Abu Hafsin 'Umar ibn al-Katthab r.a. beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu.

بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum w.b.t

Begitu pantas masa berlalu, tanpa disedari kita sudah pun memasuki tahun baru mengikut kalendar Islam. Pada waktu yang sama usia kita turut meningkat dan masa untuk berjumpa dengan Sang Pencipta juga semakin menghampiri. Peristiwa Hijrah merupakan satu titik perubahan dalam perkembangan dan penyebaran Islam di Bumi Allah ini. Justeru, amat penting bagi kita sebagai individu Muslim menghayati akan makna perkataan Hijrah itu sendiri. 

Perkataan Hijrah berasal dari Bahasa Arab yang membawa maksud "meninggalkan sesuatu perbuatan" atau "menjauhkan diri dari pergaulan" atau "berpindah dari suatu tempat ke tempat yang lain." Dari sini kita dapat lihat yang Hijrah ini bukannya perpindahan fizikal semata-mata, bahkan ia juga melibatkan perpindahan hati dan rohani kita. Dalam entri kali ini kita akan lebih tekankan pada aspek hati dan rohani insyaAllah. ^^

Pertama sekali cuba pergi ke cermin dan lihat diri sendiri. Ketika melihat jangan menggunakan mata fizikal sahaja tapi gunakanlah mata sekali. (kalau nak tahu tentang mata hati boleh baca entri PERMAS "Sejauh mata memandang seindah hamparan alam") Kemudian, tanyakan pada diri sendiri "Adakah aku pada hari ini lebih baik dari aku yang semalam?" Sudah cuba? Kalau sudah, jawapannya biarlah diri sendiri sahaja yang tahu. :)

Jadi bagaimanakah caranya kita nak berhijrah? Jawapannya ada dalam hadis diatas. Iaitu NIAT. Pentingnya niat ini adalah kerana niat itulah yang akan membantu kita dalam melakukan proses penghijrahan kita. "Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya" Maknanya di sini jika kita berniat ke arah kebaikan maka kebaikanlah yang akan kita memperolehi dan kuasa yang akan membantu kita ke arah adalah Allah S.W.T. itu sendiri. 

Bagaimana kita nak mengetahui niat kita adalah baik? Ilmu lah yang menentukannya. Dengan ilmu, kita dapat membezakan yang mana satu baik dan yang mana satu buruk kerana itulah dia perbezaan antara orang yang berilmu dengan orang yang tidak berilmu. Niat orang beriman lebih besar, lebih baik dan lebih mulia dari amalnya. Kurang sumber daya mungkin membatasi gerak dayanya tapi tidak hatinya.

Daripada Abdullah bin ‘Amru bin al-‘Aas, Nabi sallallahu alaihi wasallam bersabda (maksudnya),

“Sesungguhnya hijrah ada dua unsur. Satu daripadanya ialah kamu meninggalkan kejahatan dan kedua kamu berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya. Dan tidak terputus hijrah selagi taubat diterima. Taubat akan terus diterima sehingga matahati terbit dari barat. Apabila matahari telah terbit dari barat, akan dicopkan ke atas setiap hati manusia apa yang telah ada padanya. Peluang beramal sudah tiada lagi.”

(Riwayat Ahmad)

Pertama sekali dalam proses hijrah ini adalah taubat. Lakukan dan perbanyakkan solat sunat taubat dan istighfar bagi memulakan proses transformasi kita. Sesungguhnya junjungan besar kita yang maksum dan suci daripada melakukan sebarang dosa pun sering melakukan solat taubat dan istighfar. Inikan pula kita yang lemah. Kemudian berdampinglah dengan guru-guru serta sahabat-sahabat yang baik. Jangan tinggalkan kawan kita yang tidak turut serta dalam hijrah kita, tapi nasihat dan tunjuklah perubahan akhlak kita. Bukannya nak menunjuk-nunjuk yang kita ni baik tapi anggaplah ia sebagai satu cara untuk menarik hati mereka. Apa yang paling penting sekali dalam hijrah ini adalah istiqamah iaitu berterusan. Berhijrah biarlah sepenuhnya jangan sekat-sekat seperti ramai antara kita yang kecundang akibat kelemahan kita sendiri, sebab itulah pentingnya niat kita. 

Dalam proses Hijrah ini, jangan berasa segan dan malu berdepan dengan orang lain kerana bukan keredhaan mereka yang kita cari tetapi keredhaan Allah Taala. Mungkin juga disebabkan perubahan kita hati mereka akan tersentuh dan mereka akan turut serta dalam perjuangan hijrah kita. Maka di situ kita juga akan turut memperoleh pahala dariNya insyaAllah. Jadilah kita hamba yang menyumbang pada agama.

Hasil penulisan ini adalah sedikit perkongsian dari ceramah Ustaz Azhar Idrus (12/11/2012) di Ampangan Negeri Sembilan. Moga ia mendatangkan manfaat pada diri sendiri dan juga pada sesiapa yang membacanya insyaAllah.

"Jangan ukur adakah aku lebih baik dari orang lain, tapi ukur adakah aku lebih baik dari aku yang semalam."


SENYUM^_^


Aminah Al-Sunduq^_^




. 

Tiada ulasan:

Disqus for Permas