Rabu, 16 Mei 2012

Senyuman mengubah dunia



Senyumlah!! ^_^


Assalamualaikum w.b.t...
Pertama sekali marilah kita sama-sama memanjatkan rasa penuh kesyukuran terhadap Allah S.W.T kerana dengan limpah kurnia-Nya dapat juga kita "bersua" dan semoga selepas membaca entri yang tidak seberapa ni dapat jua kita menambahkan sedikit ilmu pengetahuan kita insyaAllah. Tidak lupa juga selawat dan salam buat junjungan besar kita Nabi Muhammad S.A.W, kaum kerabat baginda dan juga sahabat-sahabat baginda yang turut memperjuangkan agama Islam yang tercinta ini. 


Sebelum kita melanjutkan bicara, apakah perasaan anda apabila melihat gambar kucing di atas? Sekiranya sebuah senyuman telah terukir di wajah apabila melihat gambar di atas, maka anda telah berjaya untuk tersenyum. Sudah semestinya entri pada kali ini berkaitan dengan senyuman. ^_^ 


Apa itu senyum? Senyum ni adalah satu riak wajah yang ditunjukkan manusia ketika mereka berasa gembira dan ianya boleh ditunjukkan dengan mulut dan juga mata. Ada banyak sebab mengapa seseorang tu boleh tersenyum, antaranya kerana jenaka dan adakalanya ketika ber"posing" tuk bergambar. Tetapi ada juga orang senyum sebab ingin menutup perasaan malu. Senyum pun sering digunakan sebagai tanda keyakinan diri, tanda persetujuan atau sebagai tanda kebahagiaan.

Senyum mengikut kajian saintifik. Terdapat satu kajian yang telah dilakukan oleh penyelidik-penyelidik di Wayne State University, Michigan terhadap 230 orang pemain besbol yang tercetak gambar mereka di majalah Baseball Register pada tahun 1950an. Penyelidik membahagikan mereka kepada tiga kumpulan iaitu tidak senyum, senyum separuh iaitu hanya otot mulut sahaja yang terlibat dan tersenyum lebar iaitu dengan mengangkat otot pipi dan sekitar mata. Kemudian para penyelidik membandingkan gambar dengan jangka hayat pemain. Didapati bahawa bagi kategori 'tidak senyum' secara puratanya hidup sehingga 72.9 tahun, kategori 'senyum separuh' purata hidupnya 75 tahun sedangkan mereka yang dalam kategori 'tersenyum lebar' hidup sehingga umur 79.9 tahun secara puratanya. Tujuh tahun lebih lama berbanding rakan-rakan mereka yang tidak senyum. Kajian yang diterbitkan dalam jurnal Psycological Science ini menegaskan bahawa senyuman palsu tidak menyumbang kepada kesan yang sama. Subhanallah, sampai begitu sekali pengaruh senyum kat badan kita.


Dalam kajian lain pula, pengkaji dan pengamal barat percaya dengan memulakan hari dengan senyuman bukan sahaja berupaya menceriakan hidup anda tetapi memberi banyak kebaikan kepada kesihatan. Apabila kita tersenyum, badan turut 'tersenyum' dan menganggap kita gembira. Kajian menunjukkan senyuman memperlahankan aliran darah yang melalui sinus ke otak. Jadi, bila kita bangun sahaja dari tidur ucapkanlah Alhamdulillah dan teruslah tersenyum. ^_^ 


Dari sudut Islam pula, senyum dirakamkan dalam sebuah hadis: 
"Senyummu di depan saudaramu adalah sedekah." 
Hadis Riwayat At Tirmidzi dalam sahihnya.
Hebatnya Islam, kita senyum sahaja sudah dikira sedekah. Tidak perlu mengeluarkan duit. Jadi, kepada siapa-siapa yang agak kebeberatan hendak mengeluarkan duit  bersedekah, maka ringan-ringankanlah untuk tersenyum. Apabila sudah bersedekah, semestinya mendapat pahala, insyaAllah. Jika kita imbas kembali sirah perjuangan Rasulullah S.A.W dalam menegakkan Islam. Baginda begitu mementingkan senyuman tidak kira pada sesiapa jua. Ini berdasarkan hadis Anas bin Malik 


“Suatu hari aku berjalan bersama Rasulullah saw, saat itu beliau memakai selimut dari daerah Najran yang ujungnya sangat kasar. Tiba-tiba ia
ditemui seorang Arab dusun. Tanpa basa basi, laki-laki dusun itu
langsung menarik selimut kasar Rasulullah saw itu keras-keras sehingga
aku melihat bekas merah di pundak Rasulullah saw.
Laki-laki dusun tersebut berkata, ‘Suruh orang-orangmu untuk memberikan harta
Allah kepadaku yang kau miliki sekarang.’ Rasulullah saw lalu berpaling
kepada laki-laki tadi. Sambil tersenyum, beliau bersabda, ‘Berilah
laki-laki ini makanan apa saja.” (HR Bukhari)




Lihatlah pada akhlak dan keperibadian Rasulullah S.A.W. Baginda sentiasa tersenyum dalam setiap perjalanan dakwahnya. Dengan senyuman itulah betapa banyaknya hati yang telah tersentuh dan tidak terkira juga betapa banyak kesombongan musuh yang berjaya diluruhkannya serta tidak terkira juga jiwa yang merindukan senyuman manis baginda S.A.W.


Nabi telah menunjukkan kita betapa pentingnya senyuman dalam kehidupan manusia. Sebagai umat baginda, mengapa kita tidak berusaha untuk mengikuti jejak baginda yang satu ini? Laluilah detik kehidupan dengan senyuman serta sampaikanlah dakwah juga dengan senyuman manis yang dapat menusuk jiwa manusia.


Akhir sekali, marilah kita hiasi perjuangan dakwah kita dengan satu senyuman yang hangat , kerana senyuman yang pertama kali itulah yang dapat menyentuh hati saudara-saudara kita. Hilangkan wajah kekerasan dan muka yang masam yang akhirnya hanya akan membuat mereka lari dari dakwah kita malah boleh juga membenci kita. Marilah kita memikat umat dengan senyuman yang sentiasa tersemat, insyaAllah..

Aminah al-Sunduq ^_^
"Smile to the world and the world will smile back to you"








Tiada ulasan:

Disqus for Permas