Bismillahirrahmanirrahim. Persatuan Mahasiswa Masjid Asy-Syakirin (PERMAS) merupakan sebuah persatuan Islam yang bergiat aktif dalam memberi kesedaran kepada seluruh warga kampus tentang keindahan Islam. Oleh itu, PERMAS mengambil inisiatif untuk menganjurkan satu lagi program yang dirancang khas buat semua warga kampus UiTM Segamat.
Karnival Aspirasi Syurga Impian Hidup (KASIH) adalah kesinambungan kepada Karnival Kami Anak Muda Sayang Islam (KAMI) yang berjaya dianjurkan oleh PERMAS pada semester lepas. Karnival ini merupakan salah satu platform kepada PERMAS untuk berkongsi ilmu Islam itu sendiri kepada warga kampus. Kali ini Karnival KASIH membawa tema “Menyelusuri Keindahan Islam”.
Program ini bertujuan memberi kesedaran tentang pentingnya ukhuwah atau hubungan baik antara ahli PERMAS dengan warga kampus itu sendiri. Program ini turut memberi gambaran sebenar tentang isu-isu yang berlaku terhadap Islam di seluruh pelusuk dunia. Disamping itu, program ini juga menggalakkan seluruh warga kampus menanam minat untuk berhibur terutamanya dengan cara yang tetap mengikut lunas-lunas syariat Islam. Tinggi harapan PERMAS, agar program yang dijalankan ini berjaya menarik minat setiap warga kampus dan objektif yang hendak dicapai terlaksana.
Buat pertama kalinya, PERMAS menganjurkan program Pencarian Daie Muda untuk melahirkan mahasiswa dan mahasiswi yang cakna terhadap perkembangan semasa sama ada dalam atau luar Negara bagi memastikan mereka tidak ketinggalan seiring dengan arus globalisasi yang menuntut setiap isi masyarakat bersaing dengan lebih giat dan proaktif. Program ini cuba membawa mahasiswa bergerak lebih kehadapan dengan melihat serta mentafsirkan sesuatu perkara tanpa batas sempadan mengikut syariat Islam. Hali ini menuntut peri pentingnya ilmu kepada mahasiswa dalam usaha membentuk mahasiswa yang berfikiran terbuka, matang dan berdikari.
Program Pencarian Daie Muda ini merupakan program yang akan dianjurkan oleh PERMAS bagi mewujudkan modal insan yang berkualiti dari aspek rohani, jasmani, mental dan intelek sebagai “qudwah hasanah” kepada seluruh warga UiTM SEGAMAT amnya.
Semoga Karnival KASIH dirahmati Allah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan