Assalamulaikum W.B.T.
بسم الله الرحمن الرحيم
Saat berganti minit, minit berganti jam, jam berganti hari, hari berganti minggu dan akhirnya minggu mencukupkan sebulan. Begitu pantasnya detik ini berlalu bagi mereka yang menghayati ramadhan sepunuhnya. Di kala manusia sibuk gembira memikirkan sambutan Syawal, terdapat segelintir yang menangis dan sedih dengan kepergian Bulan yang penuh Barakah ini.
Kini Ramadhan sedang beransur pergi, tetapi bagaimana dengan hati dan iman di dalam diri?? Adakah ia sama seperti sebelum ini?? Andainya ditakdirkan ini adalah Ramadhan terakhir kita, adakah kita telah menyambutnya dengan sebaiknya?? Adakah kita telah meraikan tetamu khas kita yang hanya datang setahun sekali?? Bagaimana dengan IMAN, TAQWA dan JIWA kita?? Adakah mereka telah diberikan makanan tarbiah?? Adakah kita berpuasa sepertimana yang Allah berfirman di dalam kitab suci Al-Quran??
"Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa."
Al-Baqarah 2:183
Bulan Ramadhan adalah satu bulan yang penuh dengan barakah dimana setiap hamba-Nya akan diberikan rahmat, pengampunan dan pembebasan dari api neraka. Bulan ini juga adalah waktu yang paling sesuai bagi mereka yang ingin mentransformasikan diri ke arah yang lebih baik kerana telah terikatnya musuh kita yang nyata. Tetapi alangkah sedihnya apabila melihat sahabat-sahabat kita yang berpuasa tetapi tidak mendapat apa-apa melainkan lapar dan dahaga. Sedang kita sibuk beriktikaf, bertadarus dan melakukan amalan-amalan sunat, mereka sibuk dengan juadah berbuka dan baju baru sempena Aidilfitri.